Monday, March 19, 2018

Program Kehamilan di LPPKN Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Assalamualaikum wwt,

Bohonglah kalau berkahwin tapi taknak anak.. Pasti terdetik di hati setiap pasangan untuk memiliki zuriat sendiri... lebih-lebih lagi bila dah lama kahwin... ditambah pula dengan budaya Malaysia yang sering mempersoalkan tentang anak..betul tak?

Bagi pasangan yang sedang berikhtiar untuk mendapatkan cahaya mata, terdapat beberapa institusi kerajaan dan swasta di negara ini yang menawarkan Program Kehamilan. Antara yang popular adalah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Klinik Dr Hamid Arshat, Klinik Pakar Wanita Medina Dr Marsita, KL Fertility (Dr Natasya) dan Klinik Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ok...untuk post kali ni kita akan fokus dengan program kehamilan di LPPKN berdasarkan fakta dan pengalaman beberapa pasangan yang pernah melalui proses ini.


1. PENDAFTARAN

Pihak LPPKN sangat mengalu-alukan kedatangan pasangan bagi kes baru yang memenuhi syarat-syarat berikut:
  • i.   Perkahwinan telah mencapai usia setahun; dan
  • ii.  Tidak pernah mengandung sepanjang perkahwinan (Primary Fertility).

Walau bagaimanapun,  LPPKN tidak terhad kepada syarat di atas sahaja. Malah turut menerima kes-kes yang melibatkan:
  • i. Pasangan yang bermasalah untuk menambah bilangan cahaya mata:dan
  • ii. Pernah mengalami keguguran/keguguran berulang.

Perkhidmatan ini terbuka untuk Warganegara Malaysia dan Warga Asing dengan kadar bayaran yang sangat berpatutan.

TIPS: Anda dinasihati untuk menghubungi LPPKN terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh temujanji dan maklumat yang lebih terperinci. Ibu Pejabat LPPKN boleh dihubungi melalui talian operator di 03-26137555, seterusnya, mintalah untuk disambungkan ke bahagian Klinik Subfertiliti di Tingkat 6.

Tarikh temujanji mungkin agak lama disebabkan oleh beberapa faktor seperti :
  • i. Jadual tugas Dr pakar O&G agak penuh dengan kes ulangan yang lebih priority;
  • ii. Tiada kekosongan slot untuk kes baru; dan
  • iii. Permintaan melebihi penawaran di mana jumlah pasangan yang bermasalah semakin tinggi berbanding dengan pakar / fasiliti yang ditawarkan.
Jadi, kenalah bersabar sikit.

Setelah berjaya mendapatkan tarikh temujanji, anda diminta untuk hadir bersama pasangan pada tarikh temujanji yang telah ditetapkan tersebut (bermula pukul 7.30pagi) untuk proses pendaftaran. Sila datang dengan pasangan dan bawa bersama :
  • i. Kad pengenalan anda;
  • ii. Kad pengenalan pasangan anda;
  • iii. Sijil nikah yang original;
  • iv. GL (anggota DBKL/lain2 agensi berkaitan);
  • v. Dokumen berkaitan sejarah perubatan/rawatan meliputi status kesihatan, kitaran haid, penggunan kontraseptif, obstetrics dll.
Borang khusus akan dilampirkan untuk diisi oleh pasangan dan fail akan dibuka under nama isteri.


2.UJIAN SARINGAN
Suami dan isteri akan melalui ujian saringan HIV, Hepatitis dan penyakit kelamin pada hari yang sama.


3. PENILAIAN KHUSUS SUBFERTILITI SUAMI
Pada hari temujanji tersebut juga, suami akan diminta untuk menjalani analisa air mani dari segi bilangan sperma, morfologi (bentuk) sperma, pergerakan sperma samaada aktif atau tidak serta jumlah isipadu cecair air mani yang mampu dihasilkan oleh suami.
Isteri boleh membantu suami bagi merangsang pengeluaran air mani suami. Jangan risau sebab LPPKN menyediakan bilik khusus yang kondusif lengkap dengan katil, aircond, tv dan dvd player untuk tujuan tersebut di Aras 7.

Seeloknya isteri temankanlah suami. Tak perlu segan atau malu untuk masuk bilik tu bersama, pasti result sperm suami "Excellent" haha..

Ada pasangan yang perlu mengulangi ujian air mani ni disebabkan oleh  spermnyeee sedikit atau dalam istilah andrologi dipanggil sebagai Oligospermia. Pasangan jangan mudah melatah, dengan teknologi dan kepakaran yang ada, setiap masalah boleh diselesaikan sekiranya Allah izinkan.Ok???

Selain itu, pemeriksaan fizikal, profil hormon dan analisis kromosom (jika perlu) juga akan dilakukan pada hari tersebut.


4.PENILAIAN KHUSUS SUBFERTILITI ISTERI
Seperti suami, isteri juga akan menjalani pemeriksaan fizikal dan profil hormon. Pada kebiasaannya, isteri perlu menjalani prosedur histerosalpingogram (HSG) seperti gambar rajah di bawah untuk melihat keadaan tiub fallopian di kiri dan kanan samaada tersumbat ataupun tidak melalui X-Ray. Prosedur ini juga sebenarnya elok sebab ada pasangan yang berjaya hamil selepas menjalankan HSG.Mungkin disebabkan oleh cecair (dye) yang dimasukkan kedalam vagina yang bertindak seperti agen pembersihan saluran..;D


Prosedur HSG

Ada sesetengah isteri perlu menjalani laporoscopic (Lap) dan dye test. Apapun semua bergantung kepada diagnosis doktor pakar. Cuma, berbeza dengan ujian HSG yang dirawat sebagai pesakit luar (outpatient), LAP dan DYE Procedure memerlukan isteri untuk bed rest di wad.  Kos untuk HSG adalah dalam lingkungan RM 250.00-300.00 dan hospital yang disyorkan oleh LPPKN adalah di KPJ Tawakkal.


5.TEMUDUGA (PENYIASATAN)
Pasangan akan di panggil untuk sesi temuduga pada hari yang sama untuk tujuan penyiasatan. Soalan adalah berkaitan dengan seksualiti dan gaya hidup pasangan contohnya: pernah gugur? allergic dengan ubat-ubatan? merokok? mengambil alkohol? kekerapan hubungan intim? Pernah melakukan hubungan seksual sebelum berkahwin? kitaran haid? dan sebagainya yang agak personal. :D

Please jawab dengan jujur ya.


6. CONSULTATION
Setelah selesai menjalani penyiasatan, suami isteri akan dirujuk kepada doktor untuk sesi consultation. Setiap pasangan akan dipantau secara berkala oleh seorang pegawai perubatan (doktor) yang telah ditetapkan. Dr-Dr pakar yang selalu meniti dimulut TTCians adalah seperti Dr. Hamizah, Dr Komathy dan Dr Ghaffar. Doktor-doktor ni sangat komited dan pembantu mereka juga sangat friendly. Consultation dengan Dr akan dimulakan sejurus selepas semua keputusan telah diperolehi.


7. RAWATAN SUBFERTILITI
Pelbagai kaedah rawatan disediakan berdasarkan result ujian yang telah diperolehi. Doktor akan suggest kaedah yang bersesuaian dengan masalah pasangan , samaada:

i. Dengan menggunakan ubat kesuburan sahaja.
Ubat seperti Clomid akan diberi dalam dos tertentu selama 5 hari mulai hari kedua atau ketiga haid untuk merangsang ovulasi bagi membolehkan kehamilan berlaku. Seterusnya doktor akan memantau perkembangan folikel telur melalui transvaginal ultrasound (TVS) . Ovulasi seterusnya dicetuskan dengan suntikan hormon dan suami isteri digalakkan untuk mengadakan hubungan seksual secara semulajadi.


ii. Intra Uterin Insemination (IUI)

Syarat IUI memerlukan sekurang-kurangnya satu tiub fallopian yang tidak tersumbat.
Dalam prosedur ini, isteri akan diberi ubat fertiliti bagi merangsang perkembangan folikel telur seterusnya dipantau oleh doktor bagi mengesan waktu subur untuk menjalani proses insemnisasi (permanian). Sekurang-kurangnya dua telur yang matang diperlukan. Saiz yang terbaik adalah 20X20mm ke atas.

Sperma suami juga memainkan peranan penting dalam prosedur ini. Semakin banyak bilangan sperma yang berkualiti semakin besar peluang untuk hamil kerana hanya sperma yang normal dan aktif/cergas sahaja yang akan dipilih untuk insemnisasi ke dalam rahim isteri. Ini kerana,sperma yang cergas sahaja yang mampu berenang ke saluran fallopian untuk mendapatkan telur bagi tujuan persenyawaan. Ketahui faktor-faktor penentu sperma untuk menghasilkan kehamilan melalui imej di bawah :

Faktor-faktor penentu sperma yang berkualiti

Bagi penjawat awam, kedua-dua prosedur ini (ubat kesuburan dan IUI) boleh dituntut (claim) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan 21 Tahun 2009. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. InshaAllah entry akan datang, kita bincang pasal claim ni..ok??


8. TEKNOLOGI BANTUAN KONSEPSI (ASSISTED REPRODUCTIVE TECHNOLOGY-ART)
Terdapat beberapa teknik persenyawaan sekiranya syarat yang membolehkan prosedur di Para 7
diatas tidak dapat dilakukan. Antaranya melalui kaedah ART iaitu:

i. In-Vitro Fertilisation (IVF)

Digunakan dalam menangani masalah subfertiliti disebabkan kerosakan pada tiub fallopian, endometriosis, masalah ovulasi dan bagi faktor yang tidak diketahui puncanya (unexplained infertility).
Persenyawaan dilakukan di dalam makmal di mana sperma akan dipertemukan dengan telur. Pada kebiasaannya sperma mampu menembusi sendiri telur untuk disenyawakan dan membentuk embrio. Hanya embrio yang berkuliti sahaja akan dipilih dan dipindahkan ke dalam rahim bagi membolehkan implantasi berlaku.


ii. Intra-Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI)

Digunakan bagi mengatasi masalah subfertiliti lelaki di mana kualiti dan bilangan sperma adalah rendah dan tidak mampu menembusi telur dengan sendirinya. Proses ICSI melibatkan satu sperma yang disuntik ke dalam telur dengan menggunakan alat manipulator mikro. Prosedur ini memberi peluang kepada mereka yang menghadapi masalah faktor lelaki untuk mendapatkan zuriat.

Di bawah ni merupakan carta alir bagaimana pengurusan subfertiliti LPPKN dilaksanakan bermula daripada pendaftaran sehinggalah berjaya hamil untuk sesi antenatal pula.

Carta Alir Prosedur Subfertiliti LPPKN

Saya doakan semoga ada berita gembira untuk anda. Rawatan awal dapat meningkatkan peluang anda untuk menimang cahaya mata. Jangan tunggu lama-lama tau. Mengikut purata, masa yang paling subur bagi wanita adalah antara umur 15-30 tahun dan akan menurun mengikut peningkatan umur. Tahukah anda bahawa kesuburan wanita akan menurun sehingga 60% pada umur 35 tahun dan sehingga 80% pada umur 40 tahun? Jadi jangan berlengah lagi.

GOOD LUCK!!!

Your Own Language

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified